'Platform Anak Muda' mendesak kerajaan Malaysia menghormati kebebasan media dan rakyat dalam mendapatkan sebarang maklumat.
KUALA LUMPUR: Sekumpulan anak muda yang memperkenalkan diri mereka sebagai ‘Platform Anak Muda’ hari ini mengadakan protes aman di sekitar bandaraya bagi mendesak kerajaan Malaysia menghormati kebebasan media dan rakyat dalam mendapatkan sebarang maklumat.
Sekumpulan 20 anak muda terbabit, secara simbolik, membaca akhbar arus perdana secara ‘terbalik’ sebagai tanda protes.
Mereka bermula di stesen LRT Masjid Jamek dan kemudian bergerak menuju ke Masjid India dan kawasan sekitar bandaraya.
Turut kelihatan 10 anggota polis yang memantau pergerakan kumpulan terbabit namun tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku.
Platform Anak Muda ditubuhkan oleh sekumpulan anak muda yang menentang kebebasan media tetapi mereka enggan mendedahkan butir-butir pengasasnya.
Melalui kenyataan medianya hari ini, ‘Platform Anak Muda’ ini menyifatkan tindakan kerajaan menyekat kebebasan ini membawa kemunduran kepada negara dan bercanggah dengan gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Sekatan maklumat ini lebih hebat berlaku, lebih-lebih lagi ketika pilihan raya negeri Sarawak, di mana masa mengundi baru sahaja tamat jam 5 petang tadi.
“Jika rakyat diutamakan, hormatilah hak asasi rakyat untuk bebas mendapatkan maklumat dan informasi tidak kira sama ada media itu berpihak kepada mana-mana pihak sekalipun,” kata kenyataan itu.
“Di Malaysia, hampir semua jenis media dari televisyen, radio hinggalah ke akhbar dikekang hebat dengan menggunakan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak untuk menutup maklumat yang berpandangan pluralis dari sampai kepada anggota masyarakat.
“Dalam hal ini dapat dilihat di sepanjang 10 hari kempen pilihan raya negeri Sarawak yang tamat tengah malam tadi,” demikian kenyataan Platform Anak Muda kepada FMT awal petang ini.
Rasa tidak puas hati
Sementara itu, beberapa ahli yang ditemui berpendapat bahawa timbul rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat terhadap penyampaian media arus perdana yang didakwa berat sebelah.
Menurut Chuah Siew Eng, inisiatif yang dilakukan kumpulan anak muda ini harus dipuji memandangkan mereka jelas dengan situasi yang dimainkan media arus perdana kini.
“Saya ingin memberi sokongan kepada anak muda dengan inisiatif mereka menganjurkan protes ini. Ramai yang pandai mengkritik media arus perdana yang lain tapi tidak buat apa-apa tindakan yang jelas dan memberikan impak,” katanya.
Termos Ibin berkata media arus perdana perlu menyampaikan maklumat yang seimbang dan jelas serta tanpa memihak.
“Kami ingin menunjukkan rasa menyampah kami terhadap media-media arus perdana. Kami melihat apa yang disiarkan berat sebelah dan tidak memberikan maklumat yang betul.
Walaupun kami tidak menyebelahi mana-mana pihak, tetapi kami mahukan semua maklumat yang disampaikan saksama dan seimbang,” katanya.
Bagi Daniel Caspelo pula, kebanyakan maklumat yang disampaikan banyak diputarbelitkan memandangkan media arus negara dikawal sepenuhnya oleh pihak kerajaan.
“Sekarang ini banyak ‘info’ yang diputerbelitkan oleh media yang dikawal oleh kerajaan,” terang beliau.
peh.. best kat sane.. gempak2.. syabas
ReplyDelete